28.4.11

Bahaya Fesyen Di Jalan Raya


BERGAYA dengan tumit tinggi mungkin tampak elegan, namun ia juga boleh mengundang bahaya apabila memandu.
BERGAYA dengan tumit tinggi mungkin tampak elegan, namun ia juga boleh mengundang bahaya apabila memandu.
Fesyen dedahkan individu kepada risiko kemalangan 

BERFESYEN kerana mahu tampil anggun dan menawan. Tidak mengira usia, kedudukan dan kerjaya, setiap wanita sememangnya memiliki sekurang-kurangnya satu barangan fesyen kegemaran.
Namun, dalam mengejar aliran gaya semasa, tanpa sedar sebenarnya satu daripada barangan terkini dimiliki mungkin meletakkan diri anda dalam situasi risiko berdepan kemalangan jalan raya.
Kajian dijalankan di United Kingdom mendapati, lebih daripada 11.5 juta wanita seolah-olah mengumpan diri sendiri dan orang lain untuk terbabit kemalangan jika mengenakan kasut yang tidak bersesuaian ketika memandu. 

Data diperoleh daripada sebuah syarikat insuran mendapati, empat daripada lima pemandu wanita mengakui memandu dengan stilettos (kasut bertali tumit tinggi) bukan hanya menyukarkan pemanduan, malah boleh menyebabkan berlaku bencana lebih buruk. 

Kajian sama juga menunjukkan, pemakaian sandal flip flop dan bertali juga menyukarkan pengawalan kenderaan, yang mana 11.5 juta daripada 14.3 juta pemandu wanita berdepan risiko kemalangan hanya kerana selipar Jepun. 

Walaupun kutipan data dilakukan di luar negara, situasi yang digelar sebagai bahaya, berpunca daripada fesyen itu boleh berlaku di mana saja, termasuk di negara ini. 
Malah, dengan kebangkitan dan kepesatan industri fesyen tempatan, tidak mustahil, angka wanita tempatan yang berbuat demikian ketika memandu juga tinggi. 

Ramai cuba menafikan wujudnya situasi bahaya atas faktor keselesaan dan gaya, tapi jika dirujuk kepada kajian dilakukan syarikat insurans Sheilas' Wheels ke atas 750 wanita, seramai 75 daripadanya mengakui terbabit atau nyaris kemalangan kerana kasut disarung tercabut atau tersangkut pada pedal. 

Manakala 25 peratus lagi mengatakan mereka tidak akan teragak-agak menukar kasut tatkala mula melangkah ke dalam kereta walaupun sedar, sepatu yang disarung tidak selamat dengan kebanyakan daripada mereka memilih sandal flip flop atau selipar Jepun. 

Itu hanya satu iaitu kasut, tapi percayakah anda jika ada kajian yang membuktikan bahawa pemakaian cermin mata gelap berbingkai besar yang anda anggap sebagai pelindung silau matahari ketika memandu itu juga adalah ‘fashion hazard’ atau bahaya di dalam berfesyen. 

Ray Massey menulis, 12 juta wanita yang obses mengenakan cermin mata hitam mengurangkan had penglihatan mereka terhadap jalan raya terutama dengan pemakaian cermin mata berbingkai lebar dengan cermin berwarna gelap atau merah jambu. 

Ia memang ‘must have item’ (barangan wajib milik) malah digayakan selebriti terkenal seperti Paris Hilton dan Victoria Beckham tapi pengendalian kenderaan membabitkan keselamatan nyawa dan adalah tidak berbaloi jika bergadai nyawa hanya kerana ingin sentiasa tampil cantik bergaya. 

Bagi yang ragu dengan pemilihan cermin mata sesuai, selain daripada dua ciri dinyatakan, anda boleh menganggap cermin mata gelap yang lain juga tidak sesuai dikenakan tatkala memandu. Gaya aviator berbingkai bentuk bulat dan tipis serta lensa antipantulan berwarna coklat neutral atau kelabu. 

Tidak lengkap jika menyentuh koleksi fesyen tanpa menyebut mengenai persalinan beragam bentuk dan material kerana pastinya ia juga tidak terkecuali menjadi antara jenis bahaya di dalam berfesyen. 

Baju berhud yang mempunyai tali di leher bersama seluar sendat menjadi kegemaran gadis yang membonceng motosikal dan jika diperhatikan, tali jika berpintal boleh menyebabkan kehilangan nyawa. 

Belum lagi dikira gelagat segelintir pemandu terutama wanita yang suka menyarung jaket secara terbalik semata-mata ingin menjaga kecantikan kulit daripada dipanah terik mentari. 

Terkini, dalam kegilaan fesyen Muslimah, gelagat mereka bergaya memang menakutkan terutama dengan lilitan selendang panjang yang tidak kemas ala Hana Tajima dikhuatiri mengehadkan pandangan apabila memandu. 

Justeru, bagi mengelakkan gangguan ketika memandu, wanita perlu lebih berhati-hati bermula daripada langkah pertama iaitu mula memegang stering. Penumpang juga perlu ingat, bukan hanya pemandu yang boleh menjadi punca gangguan, anda juga berpotensi menjadi punca. 



WWD memperkasa wanita 

PERNAHKAH anda terdengar orang berkata, kenapa perempuan itu bawa kereta besar? Dia tak mahir memandu. Atau tengok kemalangan tadi tak? Saya pasti, mesti pemandu perempuan jadi penyebab! 

Mengikis persepsi negatif khalayak terutama lelaki terhadap kemampuan wanita ketika memandu di jalan raya pastinya sesuatu yang sukar tapi ia bukan mustahil. 

Pengarah Jualan Goodyear Malaysia, Ivy Peng, berkata dia percaya kecekapan atau kemahiran yang ada pada seorang pemandu bukan bersandarkan kepada gender semata-mata. 

“Di Goodyear, kami yakin, kecekapan itu perlu selari dengan pengetahuan dan kemahiran mengendalikan alatan atau dalam kata lain, anda mengenali kenderaan anda. 

“Ini kerana, situasi kini tidak hanya memperlihatkan lelaki yang mendominasi pemanduan kerana wanita juga selain turut memainkan peranan sebagai isteri, ibu, suri rumah, ketua dan juga chauffeur (pemandu kereta mewah). 

“Semakin ramai mencari rezeki melalui pemanduan, memiliki kenderaan sendiri dan kita melihat ada perubahan dalam dinamik gender, yang mana wanita mulai mengambil alih banyak peranan lelaki sebelum ini,” katanya ketika berucap pada perasmian bengkel Women with Drive, di sini, baru-baru ini. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Melinda Ngew dan barisan selebriti yang menyokong, Sarimah Ibrahim, Xandria Ooi serta Bernie Chan. 

Bengkel Women with Drive dengan kerjasama AAM dilancarkan julung kalinya di negara ini berikutan maklum balas positif daripada wanita di Australia, China, India, Indonesia dan Filipina melalui pelbagai aktiviti dianjurkan. 

“Ia dicetuskan sebagai program khidmat komuniti untuk wanita dan dikendalikan pakar penjagaan kereta Goodyear bersama misi untuk menyediakan wanita dengan keyakinan dan pengetahuan bagi memastikan kenderaan mereka selamat serta sentiasa berada dalam keadaan baik sekali gus mengelakkan kemalangan. 

“Bagi wanita yang berminat, nantikan bengkel pertama kami pada Mei ini dan pelajari kemahiran dikongsi dalam pemanduan,” katanya. 

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman www.goodyear.com.my. 

Sementara itu, AAM juga turut melancarkan kad keahlian Elite Femme khusus bagi pemandu wanita. Selain keistimewaan asas keahlian AAM, kad Elite Femme menyediakan nilai tambah kepada wanita, termasuk menyediakan kemudahan penginapan jika terbabit kemalangan, perlindungan jika diragut dan pelbagai kelebihan lain. 

INFO 

Bahaya fesyen di jalan raya
 




  • Cermin mata hitam 
    Ia mungkin tampak cantik apabila digayakan tapi pemakaian cermin mata dempak boleh mengehadkan pandangan malah titik hitam juga lebih besar. 





  • Kasut tumit tinggi 
    Menghalang pergerakan kaki terutama apabila berdepan situasi kecemasan. 





  • Gincu 
    Walaupun penampilan itu penting, JANGAN sesekali mengenakan mekap ketika memandu kerana ia boleh mengalih tumpuan terhadap pemanduan. 





  • Selendang 
    Jika ia diperbuat daripada material lembut seperti sutera, ia mungkin berterbangan atau tersangkut di cermin tingkap sehingga menghalang pandangan. 



  • {source}


    ツdush!
    hey!kalau suka kenapa tak klik LIKE je?

    No comments:

    Post a Comment

    ini kotak komen. bukan kotak romen.

    POPULAR POST